Ramai orang tersalah anggap bahawa influenza adalah demam selesema, tetapi kedua-dua penyakit ini berbeza1. Influenza adalah penyakit sistem pernafasan berjangkit yang disebabkan oleh virus-virus influenza2. Ia boleh terjadi secara tiba-tiba dan individu yang dijangkiti influenza biasanya akan mengalami simptom-simptom seperti demam, batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit otot atau badan, sakit kepala, lesu (keletihan), muntah dan dalam kes yang jarang berlaku, cirit-birit (lebih kerap terjadi pada kanak-kanak berbanding orang dewasa)3.
Malangnya, sesetengah orang mungkin mengalami masalah dan komplikasi lebih serius yang adakalanya boleh membawa maut3. Antara komplikasinya termasuklah radang paru-paru (pneumonia), jantung (miokarditis), otak (ensefalitis) atau tisu otot (miositis) dan kegagalan beberapa organ3.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengkategorikan individu-individu ini kepada kumpulan-kumpulan berisiko tinggi seperti berikut4:
Semua orang yang tergolong dalam kumpulan-kumpulan berisiko tinggi ini perlu mengelak dari dijangkiti influenza. Salah satu cara yang paling berkesan ialah dengan mendapatkan vaksin untuk mencegah penyakit tersebut5. Vaksin influenza kuadrivalen memberi perlindungan meluas daripada empat virus utama influenza – dua virus influenza A dan dua virus influenza B6. Periksa dengan doktor anda untuk mengetahui sama ada ia sesuai untuk anda.
Individu-individu yang tidak berisiko tinggi juga digalakkan untuk mendapatkan vaksin7. Malah, CDC menyarankan semua orang yang berusia 6 bulan ke atas untuk mendapatkan vaksin influenza setiap tahun (bagi melindungi daripada virus-virus influenza yang baru bermutasi dalam suatu tahun)7. Ini benar kerana tiada siapa yang ingin terlantar sakit beberapa hari, atau menyebarkan penyakit kepada ahli keluarga, kawan-kawan, rakan-rakan sekerja atau yang lebih teruk lagi, individu-individu yang berisiko tinggi di sekeliling kita.
Influenza berbahaya kepada kanak-kanak kerana berjuta-juta daripada mereka jatuh sakit akibat influenza, ada yang dimasukkan ke hospital dan ada juga yang meninggal dunia akibatnya8. Kanak-kanak di bawah usia 5 tahun dan terutamanya yang berumur 2 tahun ke bawah berisiko tinggi mendapat komplikasi-komplikasi serius yang berkaitan dengan influenza8. Kanak-kanak yang menghidap masalah kesihatan kronik seperti lelah dan diabetes jenis 1 juga berisiko tinggi; seperti yang ditunjukkan dalam sebuah kajian, mereka adalah 4-21 kali lebih cenderung untuk dimasukkan ke hospital akibat influenza9. Memberikan vaksin influenza kepada kanak-kanak memberi manfaat kepada ibu bapa dan kanak-kanak dengan mengurangkan kekerapan berjumpa doktor, mengelakkan ketidakhadiran ke pejabat dan sekolah, dan yang paling penting, mengelakkan kesengsaraan akibat influenza yang teruk dan komplikasi-komplikasinya8.
Kehamilan menyebabkan pelbagai perubahan pada sistem imun, jantung dan paru-paru10. Ini boleh membuatkan wanita hamil (dan sehingga dua minggu selepas bersalin) lebih cenderung untuk mengalami penyakit yang teruk akibat influenza dan risiko yang lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital10. Mujurlah vaksinasi influenza boleh diberikan semasa hamil dan telah terbukti dapat melindungi ibu dan bayi dari influenza selama beberapa bulan selepas kelahiran10. Bincanglah dengan doktor anda tentang vaksin influenza yang sesuai.
Ramai rakyat Malaysia menghidap satu atau lebih penyakit tidak berjangkit seperti diabetes melitus jenis 2, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kanser, penyakit buah pinggang kronik, dan penyakit hati. Masalah-masalah kesihatan seperti ini membebankan sistem imun dan menyukarkan tubuh untuk melawan dan sembuh dari jangkitan influenza11. Pelbagai perkara yang tidak dingini boleh berlaku – influenza boleh menjadikan penyakit kronik sedia ada lebih serius (cth meningkatkan paras glukosa darah penghidap diabetes ke tahap bahaya) atau menyebabkan serangan jantung atau strok11. Semua ini menjadi lebih teruk apabila komplikasi-komplikasi influenza mula muncul. Inilah sebabnya penghidap-penghidap penyakit kronik lebih cenderung untuk dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia apabila dijangkiti influenza11.
Warga emas, terutamanya yang berusia 65 tahun ke atas, sangat terdedah kepada jangkitan influenza. Kebanyakan mereka menghidap penyakit-penyakit tidak berjangkit. Risiko ini semakin meningkat kerana sistem imun mereka sudah lemah kerana usia yang lanjut11.
Berdasarkan semua sebab ini, pesakit-pesakit penyakit kronik dan warga emas disarankan untuk menjadikan vaksinasi influenza tahunan sebahagian daripada gaya hidup mereka11. Ini akan menghasilkan perbezaan yang sangat bermakna untuk kesihatan dan kualiti hidup mereka.
Masalah pernafasan atau paru-paru melibatkan lelah, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), emfisema, bronkitis kronik dan fibrosis pulmonari12. Sesiapa yang menghidap masalah-masalah ini perlu mengetahui risiko-risiko yang dibawakan oleh influenza. Tambahan pula, kira-kira 17% kematian berkaitan influenza setiap tahun boleh dilihat dalam kalangan penghidap-penghidap penyakit pernfasan kronik13.
Lelah ialah masalah pernafasan yang paling lazim dan menjejaskan sejumlah besar golongan dewasa dan kanak-kanak14. Bagi mereka, influenza adalah ancaman yang serius walaupun lelah dan simptom-simptomnya terkawal dengan ubat-ubatan14. Bagi orang dewasa dan kanak-kanak, jangkitan-jangkitan virus pernafasan adalah pencetus utama episod lelah mereka15. Influenza boleh menyebabkan keradangan yang lebih teruk pada laluan udara dan paru-paru mereka yang sensitif14. Ini akan memburukkan lagi simptom-simptom lelah dan meningkatkan kebarangkalian terjadinya radang paru-paru atau penyakit-penyakit pernafasan akut yang lain14.
Setiap hari adalah cabaran untuk golongan yang menghidap masalah paru-paru. Bernafaslah dengan lebih mudah dengan menjadikan vaksinasi influenza sebahagian daripada regimen penjagaan kesihatan anda14.
Influenza ialah risiko kesihatan boleh dicegah vaksin yang paling lazim untuk mereka yang mengembara atas tujuan perniagaan, percutian dan menunaikan haji atau umrah16. Mereka mungkin dijangkitinya semasa menaiki kapal terbang atau berada berhampiran individu-individu yang dijangkiti di tempat-tempat yang sesak. Mujurlah para pengembara boleh mencegah influenza dari mengganggu perjalanan mereka dengan mendapatkan vaksin sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum berlepas (untuk memberi tempoh yang mencukupi bagi membentuk imuniti vaksin yang diingini)17.
Berikut adalah nota ringkas untuk jemaah-jemaah Haji dan Umrah. Mereka sering mendapat jangkitan saluran pernafasan (termasuk influenza) semasa berada di Tanah Suci18. Kajian menunjukkan lebih daripada 90% rakyat Malaysia akan dijangkiti sekurang-kurangnya 1 simptom pernafasan semasa menunaikan Haji atau Umrah. Ini membawa masalah terutamanya kepada golongan yang lanjut usia atau yang turut menghidap penyakit kronik.
Untuk membantu mereka menunaikan tuntutan agama dengan tenang, para jemaah dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri mereka dari influenza20.