Vaksin influenza adalah selamat dan penting!

Vaksin influenza mempunyai rekod keselamatan yang baik. Ia telah dikaji secara meluas, dan tiada laporan kematian berkaitan vaksinasi influenza di Malaysia atau Singapura. Seperti vaksin-vaksin yang lain, influenza boleh menyebabkan kesan sampingan yang ringan seperti kemerahan, sakit, dan bengkak di tempat suntikan, atau demam, kesan ini biasanya akan surut dengan sendiri.

Oleh itu, tidak ada sebab untuk takut terhadap vaksinasi influenza. Sebaliknya, kita harus bergantung kepada vaksin ini untuk membantu mencegah influenza, penyakit yang menjejaskan 3 hingga 5 juta individu setiap tahun dan menyebabkan komplikasi yang teruk seperti radang paru-paru, serangan jantung, strok, dan juga kematian disebabkan saluran pernafasan (antara 290,000 hingga 650,000).

Seperti saranan US Advisory Committee on Immunization Practices (ACIP), setiap individu yang berusia 6 bulan ke atas harus dilindungi dengan vaksin influenza setiap tahun. Ini amat penting terutamanya jika anda tergolong dalam mana-mana kumpulan berisiko tinggi seperti berikut:

  1. Warga Emas:
    • Vaksinasi influenza tahunan bagi individu lanjut usia iaitu yang berusia 50 tahun atau lebih adalah dikaitkan dengan kadar kemasukan ke hospital akibat influenza serta komplikasi dan kematian berkaitan influenza yang lebih rendah.

  2. Individu-individu Yang Menghidap Penyakit Kronik:
    • Vaksinasi influenza tahunan boleh membantu mengurangkan risiko masalah utama kardiovaskular dalam kalangan individu yang menghidap penyakit jantung.
    • Bagi penghidap penyakit kencing manis, kebarangkalian kematian akibat serangan jantung atau strok adalah lebih rendah .
    • Vaksinasi influenza dikaitkan dengan penurunan risiko kemasukan ke hospital akibat kegagalan jantung dalam kalangan pesakit warga emas yang menghidap penyakit buah pinggang kronik.
    • Bagi penghidap penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), vaksinasi influenza tahunan dikaitkan dengan pengurangan kadar serangan pernafasan, kemasukan ke hospital, rawatan pesakit luar serta kematian berkait sistem pernafasan dan juga kadar kematian secara keseluruhan.
    • Begitu juga, penghidap asma mengalami penurunan kekerapan penyakit pernafasan, serangan asma dan komplikasi asma yang berkaitan dengan influenza.

  1. Wanita Hamil:
    • Suntikan flu yang diberikan kepada wanita hamil dapat mengurangkan risiko komplikasi yang disebabkan oleh influenza, proses bersalin pramatang, kelahiran pramatang, kecacatan serta kematian semasa lahir.

  2. Kanak-Kanak:
    • Vaksinasi influenza tahunan melindungi kanak-kanak yang berusia lebih 6 bulan daripada komplikasi jangkitan influenza yang boleh menyebabkan kematian (seperti radang paru-paru, penyahhidratan teruk dan disfungsi otak).

Kesimpulannya, vaksinasi influenza adalah selamat dan langkah pencegahan yang sangat diperlukan! Dengan berjuta-juta orang yang dijangkiti oleh influenza setiap tahun, adalah penting untuk mengutamakan vaksin influenza tahunan, terutamanya untuk kumpulan berisiko tinggi dan populasi yang terdedah. Langkah kecil ini boleh membantu mengelakkan penderitaan fizikal, emosi dan kewangan yang teruk akibat influenza dan komplikasi yang berkaitan.