Musim cuti akhirnya tiba! Jika anda sibuk sepanjang tahun ini, pasti anda tidak sabar untuk menikmati percutian yang telah dirancang dengan teliti. Seperti kebanyakan orang lain, anda tidak sabar untuk menggantikan kasut formal atau tumit tinggi dengan selipar musim panas atau but musim sejuk dan meluangkan masa bersama keluarga dalam persekitaran yang menenangkan.
Hari yang amat dinanti-nantikan telah tiba dan anda sudah bersedia untuk pergi. Anda menaiki kapal terbang dengan penuh keterujaan, mendaftar masuk ke hotel sebaik tiba di destinasi dan memulakan hari pertama percutian dengan bersiar-siar. Kemudian, selepas menikmati makan malam yang diakhiri dengan pencuci mulut yang sangat enak, anda pulang ke bilik hotel untuk berehat dan bersedia untuk pengembaraan yang lebih menarik pada hari esok.
Sekarang, cuba bayangkan anda bangun dari tidur dengan tekak yang perit. Walaupun tidak selesa, anda tetap meneruskan aktiviti yang telah dirancang. Kemudian, sesuatu yang amat anda takutkan berlaku, pada waktu malam anda diserang demam yang teruk sehingga menggigil. Anda berkelubung di bawah selimut dengan kepala yang berdenyut-denyut, badan yang sakit dan anda terlantar tidak bermaya di katil.
Malangnya, anda tidak dapat tidur lena kerana batuk dan demam yang teruk. Namun, pakej lawatan yang telah dibeli tidak boleh ditebus semula dan anda tidak boleh membatalkannya kerana telah membelanjakan wang yang banyak. Jadi, keluarga anda terpaksa meneruskan lawatan dan meninggalkan anda sendirian menahan sakit di bilik hotel.
Anda asyik mengenangkan nasib diri, dengan batuk yang tidak berhenti dan demam yang semakin tinggi suhunya walaupun telah mengambil paracetamol dan ubat batuk. Ini adalah mimpi ngeri untuk semua orang yang sedang bercuti. Pasti keadaan ini tidak akan menjadi lebih teruk. Namun, tanggapan anda salah.
Walaupun anda sangat berharap akan sembuh, kesihatan anda semakin merosot. Anda mula berasa sakit teruk. Anda bangkit dari katil dengan lemah dan menaiki teksi untuk berjumpa doktor. Namun, doktor di sana tidak dapat berkomunikasi dengan baik dalam bahasa anda sehingga memakan masa selama 30 minit untuk anda menerangkan simptom-simptom yang dialami. Akhirnya, doktor mengesahkan bahawa anda telah dijangkiti virus flu. Anda pulang semula ke hotel dengan bermacam-macam ubat di dalam beg.
Sudah 3 hari anda terlantar sakit setelah sampai ke destinasi percutian. Demam masih teruk dan anda berasa sangat lemah. Keluarga anda yang bimbang tentang kesihatan anda telah membawa anda ke hospital. Setelah menghadapi pelbagai kesukaran untuk menguruskan tuntutan insurans, anda akhirnya dimasukkan ke wad dan diberi rawatan. Anda terlantar sakit di hospital selama 2 hari dan hiburan yang ada hanyalah drama bahasa asing di televisyen. Tiada apa yang lebih menyedihkan daripada itu.
Selepas beberapa hari, keadaan anda beransur pulih dan anda dibenarkan keluar dari hospital. Anda sudah sembuh tetapi hanya tinggal satu atau dua hari sahaja lagi sebelum percutian anda berakhir. Jadi, anda meluangkan beberapa jam yang tinggal untuk bersiar-siar bersama keluarga. Percutian anda telah bertukar kepada sesi lawatan yang mahal ke farmasi, klinik dan hospital di luar negara. Satu-satunya berita baik untuk anda ialah anda berasa sihat dalam penerbangan balik ke Malaysia.
Mengembara adalah satu aktiviti yang sangat menyeronokkan. Namun, jika anda jatuh sakit, percutian anda pasti terjejas. Walaupun begitu, masih ramai yang meneruskan percutian walaupun dijangkiti flu kerana susah dan mahal untuk menangguhkan penerbangan atau menukar tarikh tempahan hotel dan lawatan. Jadi, mereka yang sakit ini akan menyebarkan virus flu kepada orang di sekeliling mereka.
Influenza atau flu adalah salah satu penyakit berjangkit yang paling kerap menjangkiti pengembara1. Ia disebabkan oleh virus influenza (flu) dan tidak sama seperti demam selesema. Individu yang dijangkiti flu biasanya mengalami simptom seperti demam panas, batuk, bersin dan sakit badan2. Apa yang lebih teruk, titisan cecair yang terkeluar ketika mereka batuk atau bersin boleh kekal di atas permukaan sehingga 48 jam3. Jadi, anda menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti flu walaupun sebelum percutian anda bermula.
Di negara beriklim tropika seperti Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain, virus influenza tersebar sepanjang tahun, manakala di negara-negara empat musim, jangkitan influenza biasanya meningkat semasa musim luruh dan musim sejuk1.
Apabila anda mengembara bersama keluarga, adalah penting untuk anda memastikan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak atau ibu bapa anda yang sudah lanjut usia. Mereka menghadapi risiko mendapat komplikasi yang serius dari flu termasuklah pneumonia, jangkitan telinga, meningitis, atau maut jika tidak dirawat dengan segera4.
Kanak-kanak di bawah usia 5 tahun mungkin belum mempunyai sistem imun yang matang manakala imuniti seseorang yang lanjut usia mungkin menjadi lemah akibat penuaan5,6. Selain itu, jika ibu bapa anda mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, penyakit jantung atau paru-paru, flu boleh menyebabkan masalah kesihatan mereka menjadi lebih tenat7. Jadi, flu bukan sahaja merosakkan percutian anda tetapi anda juga mungkin perlu menanggung kos perubatan yang sangat tinggi untuk ubat-ubatan dan rawatan di hospital.
Walaupun hampir mustahil untuk mengelakkan dari bertembung dengan orang yang menghidap flu semasa sedang bercuti, anda boleh memastikan diri dilindungi darinya.
Malah, perkara pertama yang sepatutnya dilakukan sebelum bercuti ialah mempertimbangkan untuk mendapatkan vaksinasi flu untuk anda dan keluarga.
Vaksinasi telah terbukti berkesan dalam mengurangkan kunjungan ke doktor sebanyak 34-44%1. Bagi kanak-kanak, ia dapat mengurangkan kemasukan ke hospital sehingga 75%2. Untuk individu yang lanjut usia, vaksinasi flu mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 29% dan kematian sebanyak 49%3. Bagi yang bimbang mengenai kesihatan apabila kembali bekerja, vaksinasi flu boleh mengurangkan ketidakhadiran ke tempat kerja akibat flu sebanyak 32-45%8.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika, semua individu yang berusia lebih enam bulan perlu mendapatkan vaksinasi flu setiap tahun. Vaksinasi flu membantu tubuh anda membina imuniti untuk melawan strain virus flu yang sedang merebak pada tahun tertentu. Walau bagaimanapun, virus flu sentiasa bermutasi. Malah, setiap rantau mempunyai strain virus flu yang berbeza. Jadi, dengan mendapatkan vaksinasi flu tahunan, anda boleh meyakini bahawa vaksin anda berkesan untuk melawan virus yang lazim dan strain yang telah bermutasi4.
Anda sepatutnya mengambil vaksin flu sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum percutian supaya tubuh anda mempunyai waktu yang mencukupi untuk membentuk antibodi dan bertindak balas sepenuhnya kepada virus flu yang menyerang. Kanak-kanak yang berusia antara 6 bulan hingga 8 tahun memerlukan 2 dos vaksin dalam jarak 4 minggu jika mereka tidak pernah menerima vaksin ini. Oleh itu, dapatkan nasihat pakar pediatrik untuk memastikan anak-anak anda diberi vaksin dengan betul sebelum percutian anda bermula11.
Akhir sekali, cegahlah flu dengan menjaga kebersihan diri. Cuci tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun. Jika tiada kemudahan ini, gunakanlah cecair sanitasi tangan. Elakkan dari menyentuh mata, hidung dan mulut kerana ia membolehkan virus flu merebak dan menjangkiti anda. Anda juga boleh mengelap dan membasmi kuman pada peralatan seperti dulang makanan di dalam kapal terbang atau peranti skrin sentuh sebelum menggunakannya5.
Oleh itu, sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada jiran-jiran dan rakan-rakan, ingatlah bahawa percutian hanya menyeronokkan sekiranya anda sihat. Lindungilah diri dari flu dengan mengambil vaksinasi influenza supaya anda dapat menikmati sepenuhnya percutian hebat yang telah dirancang.
Vaksinasi tahunan flu disyorkan kepada:
• Warga Emas
• Kanak-kanak
• Orang yang menghidap penyakit kronik
Ultra Works Sdn Bhd
23-5, Block B, the Suites, Jaya One,
Jalan Prof Diraja Ungku Aziz, 46200 Petaling Jaya, Selangor.