Lengkapkan diri anda dengan fakta-fakta sambil kami bongkar mitos dan salah tanggapan berkaitan influenza. Klik untuk lihat jawapan.

Mengenai Influenza

Apakah itu influenza?

Influenza, turut dikenali sebagai flu, adalah penyakit pernafasan yang disebabkan oleh jangkitan virus influenza di hidung, tekak dan kadang-kadang paru-paru
Sumber: Guidelines for the Prevention of Influenza in Older Persons by Malaysian Influenza Working Group(MIWG) https://storage.unitedwebnetwork.com/files/183/392a5baac7fb975ca8c179782cc44bbc.pdf

Adakah jangkitan influenza disebabkan oleh virus?

Ya, jangkitan influenza adalah disebabkan jangkitan virus. Terdapat tiga jenis utama virus influenza: A, B dan C. Kebanyakan wabak influenza bermusim adalah disebabkan oleh virus influenza A dan B, manakala virus influenza C pula biasanya menyebabkan gejala pernafasan yang lebih ringan.

Sumber: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/influenza-(seasonal)

Apakah perbezaan antara flu dan influenza?

“Flu” dan “influenza” pada asasnya adalah perkara yang sama dan sering digunakan untuk merujuk kepada jangkitan virus yang disebabkan oleh virus influenza.

Sumber: https://www.cdc.gov/flu/prevent/keyfacts.htm

Bilakah berlakunya musim influenza di Malaysia?

Influenza berlaku sepanjang tahun. Tempoh kemuncaknya adalah pada Mei-Julai dan November-Januari.

Sumber: https://adultimmunisation.msidc.my/influenza/

Simptom Influenza

Apakah simptom-simptom influenza?

Simptom influenza boleh muncul dengan cepat dan ianya termasuk:

  • Demam
  • Batuk
  • Sakit tekak
  • Hidung berair atau tersumbat
  • Sakit otot atau badan
  • Sakit kepala
  • Kelesuan
  • Muntah dan cirit birit (lebih cenderung berlaku di kalangan kanak-kanak daripada orang dewasa)

Sumber: https://www.cdc.gov/flu/about/keyfacts.htm

Bagaimana saya hendak mengetahui jika saya dijangkiti influenza?

Oleh kerana virus lain boleh menyebabkan penyakit pernafasan yang serupa dengan influenza, adalah mustahil untuk memastikan hanya berdasarkan simptom sahaja. Sila berjumpa dengan doktor anda untuk lakukan ujian.
Sumber: https://www.cdc.gov/flu/symptoms/testing.htm

Apakah jenis-jenis ujian influenza yang ada?

Ujian Diagnostik Influenza Pantas (Rapid Influenza Diagnostics tests):

  • Boleh dilakukan sendiri di rumah
  • Perlu memasukkan swab ke dalam rongga hidung untuk mendapatkan sampel
  • Memberi keputusan dalam tempoh 10-15 minit
  • Keputusan mungkin tidak setepat ujian influenza yang lain (Anda masih boleh menghidap influenza walaupun keputusan negatif)


Ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR)

  • Perlu dilakukan di hospital atau makmal diagnostik
  • Pembekal penjagaan kesihatan akan menggunakan swab untuk mengambil sampel di bahagian dalam hidung atau belakang tekak anda dan menghantarnya untuk ujian
  • Keputusan mungkin mengambil masa satu hingga beberapa jam.

Sumber: https://www.cdc.gov/flu/symptoms/testing.htm#flu-tests

Adakah influenza berjangkit?

Ya. Virus influenza boleh dikesan dalam kebanyakan orang yang dijangkiti dari 1 hari sebelum mereka menunjukkan simptom sehingga kira-kira 5-7 hari selepas jatuh sakit. Tempoh kebolehjangkitan adalah 3-4 hari pertama selepas simptom bermula. Bagi bayi dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, tempoh kebolehjangkitan boleh melebihi 7 hari.
Sumber: https://www.cdc.gov/flu/about/disease/spread.htm

Penularan Influenza

Bagaimana influenza tersebar?

Penghidap influenza boleh menyebarkannya kepada orang lain melalui titisan pernafasan apabila mereka batuk, bersin, atau bercakap. Titisan ini boleh termasuk ke dalam mulut atau hidung orang berdekatan dan meresap ke dalam paru-paru. Kadangkala seseorang mungkin mendapat influenza dengan menyentuh permukaan yang tercemar dengan virus dan kemudiannya menyentuh mulut, hidung atau mata mereka.
Sumber: https://www.cdc.gov/flu/about/disease/spread.htm

Kumpulan Berisiko Tinggi Jangkitan Influenza

Siapakah yang berisiko tinggi mendapat komplikasi influenza?

Sesiapa sahaja boleh mengalami komplikasi influenza yang serius, tetapi sesetengah golongan mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Golongan ini adalah termasuk:

  • Warga emas (60 tahun dan ke atas)
  • Mereka yang menghidap penyakit kronik (seperti penyakit jantung & diabetes)
  • Wanita hamil
  • Kanak-kanak di bawah 5 tahun

Sumber: https://www.cdc.gov/flu/highrisk/index.htm

Mengapakah warga emas berisiko untuk mendapat komplikasi influenza? Adakah vaksin influenza selamat untuk mereka?

Warga emas berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi influenza yang serius seperti radang paru-paru, serangan jantung dan strok. Apabila semakin tua, sistem imun mungkin menjadi lemah atau menjadi kurang efektif dalam melawan jangkitan, menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada komplikasi serius influenza.


Ya, vaksin influenza selamat untuk warga emas. Dalam “Guidelines for the Prevention of Influenza in Older Persons” oleh Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG), semua warga emas berumur 60 tahun dan ke atas adalah disyorkan untuk mendapatkan suntikan influenza setiap tahun.

Sumber: https://storage.unitedwebnetwork.com/files/183/392a5baac7fb975ca8c179782cc44bbc.pdf

Ketahui lebih lanjut berkaitan influenza di kalangan warga emas dengan menonton video ini yang menampilkan Dr Nurhayati Mohd Marzuki, Pakar Perunding Perubatan Pernafasan:
https://www.youtube.com/watch?v=bxWwdAG9e7Y&t=1s&ab_channel=Immunise4Life/

Mengapakah penghidap penyakit kronik berisiko mengalami komplikasi influenza? Adakah vaksin influenza selamat untuk mereka?

Influenza boleh memburukkan lagi penyakit kronik, menjadikannya sukar untuk diurus dan dirawat. Sebagai contoh, bagi penghidap diabetes, paras gula dalam darah boleh menjadi sangat rendah atau tinggi disebabkan oleh jangkitan serius influenza dan ini boleh membawa kepada komplikasi yang mengancam nyawa.

Penyakit jantung pula boleh menyebabkan kerosakan struktur pada jantung seperti penyempitan dan pengerasan arteri serta kelemahan otot jantung. Apabila usia semakin meningkat, anda mungkin tidak dapat bertahan dengan penyakit influenza kerana keadaan jantung yang lemah.

Ya, vaksin influenza selamat untuk penghidap penyakit kronik. Vaksin influenza didapati mampu mengurangkan risiko penyakit kronik menjadi lebih teruk dan mencegah kemasukan hospital disebabkan oleh influenza.

Sumber: https://www.cdc.gov/flu/highrisk/chronic-conditions/index.htm

Ketahui lebih lanjut berkaitan influenza, penuaan & penyakit kronik dengan memuat turun booklet PERCUMA kami!
Prevent Influenza As Part Of Managing Your Diabetes & Heart Disease

Mengapakah wanita hamil berisiko mengalami komplikasi influenza? Adakah vaksin influenza selamat untuk mereka?

Perubahan dalam sistem imun, jantung, dan paru-paru semasa mengandung menjadikan wanita hamil itu lebih mudah terkena komplikasi serius akibat influenza.


Kajian telah menunjukkan bahawa jangkita influenza semasa hamil meningkatkan risiko keguguran, kelahiran pramatang, dan berat lahir rendah. Wanita hamil juga berisiko mengalami komplikasi influenza seperti bronkitis, yang kemudiannya boleh menjadi pneumonia.


Ya, vaksin influenza selamat untuk wanita hamil. Kajian menunjukkan bahawa suntikan influenza semasa mengandung dapat mengurangkan kemasukkan ke hospital disebabkan influenza sebanyak kira-kira 40%.


Mendapatkan suntikan influenza semasa mengandung juga boleh membantu melindungi bayi daripada jangkitan influenza sehingga enam bulan selepas kelahiran (apabila mereka masih terlalu muda untuk mendapatkan vaksin). Sila ambil maklum bahawa sesetengah vaksin influenza mungkin tidak menawarkan kebolehan ini. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk dengan perunding kesihatan anda.

Sumber: https://www.nct.org.uk/pregnancy/worries-and-discomforts/symptoms-watch-out-for/flu-and-pregnancy

Mengapakah kanak-kanak kecil berisiko mengalami komplikasi influenza? Adakah vaksin influenza selamat untuk mereka?
Kanak-kanak bawah 5 tahun berisiko tinggi untuk dijangkiti influenza kerana sistem imun mereka masih lagi berkembang.

Ini bermakna mereka lebih terdedah kepada komplikasi serius influenza seperti pneumonia, dehidrasi, masalah kesihatan seperti penyakit jantung atau asma, sinus, dan jangkitan telinga yang semakin teruk & kerosakan otak.

Ya, vaksin influenza selamat untuk mereka. Vaksin influenza didapati dapat mengurangkan risiko penyakit influenza, kemasukan hospital dan kematian di kalangan kanak-kanak. Sumber: https://www.cdc.gov/flu/highrisk/children.htm 
Bolehkah influenza menyebabkan komplikasi teruk yang membawa kepada kematian?

Ya. Komplikasi influenza yang lazim adalah pneumonia. Influenza juga boleh menyebabkan jangkitan telinga, jangkitan sinus, serangan jantung, strok, dan menjadikan masalah kesihatan sedia ada lebih teruk, seperti kegagalan jantung kongestif, diabetes atau asma. Ada kalanya, jangkitan influenza serius boleh membawa kepada kematian.
Sumber: https://www.cdc.gov/flu/about/keyfacts.htm

Pencegahan Influenza

Apakah cara terbaik untuk mencegah jangkitan influenza?

Cara terbaik untuk mencegah influenza adalah dengan mendapatkan vaksin influenza tahunan. Vaksin mampu mengurangkan penyakit berkaitan influenza dan risiko komplikasi serius yang boleh menyebabkan kemasukan hospital atau kematian.

Selain itu, anda harus kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, membersihkan dan menyahkuman permukaan dan objek yang kerap disentuh & elakkan bersentuhan rapat dengan individu yang tidak sihat.
Sumber: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/influenza-(seasonal)

Mengapakah saya perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza setiap tahun?

Terdapat dua sebab mengapa anda perlu dapatkan vaksin influenza setiap tahun. Pertama, perlindungan imun yang seseorang itu dapat daripada vaksinasi akan semakin menurun, oleh itu, vaksin influenza tahunan diperlukan untuk perlindungan yang optimum.

Kedua adalah kerana virus influenza sentiasa berubah. Oleh itu, formula vaksin perlu diubahsuai setiap tahun untuk melawan strain baru di musim akan datang. Untuk perlindungan terbaik, mereka yang berumur 6 bulan dan ke atas disarankan mendapatkan vaksin influenza setiap tahun.
Sumber: https://www.cdc.gov/flu/prevent/keyfacts.htm

Di manakah saya boleh dapatkan suntikan vaksin influenza?

Buat masa kini, vaksin influenza boleh didapati di klinik & hospital swasta sahaja.

Klik pautan ini untuk mencari klinik berhampiran anda. https://immunise4life.my/clinics/

Berapa lamakah masa yang diambil untuk vaksin influenza mula memberikan perlindungan?

Vaksin influenza mengambil masa kira-kira dua minggu selepas suntikan untuk antibodi di dalam badan dihasilkan dan memberikan perlindungan terhadap influenza.
Sumber: http://www.myhealth.gov.my/en/influenza-2/

Apakah kesan sampingan vaksin influenza?

Suntikan influenza boleh menyebabkan kesan sampingan biasa seperti kemerahan, kesakitan dan bengkak di tempat suntikan, sakit kepala, demam, loya, sakit otot dan kelesuan.
Sumber: https://adultimmunisation.msidc.my/influenza/

Rawatan Influenza

Bolehkah influenza dirawat dengan ubat-ubatan?

Ya. Terdapat “ubat antiviral influenza” yang boleh digunakan untuk merawat penyakit influenza. Walau bagaimanapun, ubat itu adalah paling berkesan apabila diambil awal, sebaik-baiknya dalam masa 1-2 hari selepas munculnya simptom influenza.
Sumber: Guidelines for the Prevention of Influenza in Older Persons by Malaysian Influenza Working Group(MIWG) https://storage.unitedwebnetwork.com/files/183/392a5baac7fb975ca8c179782cc44bbc.pdf 

Bolehkah rawatan semulajadi di rumah merawat influenza?

Rawatan semulajadi di rumah boleh membantu meredakan simptom influenza, memberikan keselesaan dan kelegaan. Walau bagaimanapun, rawatan ini bukanlah pengganti kepada nasihat perubatan profesional. Rujuk doktor anda untuk dapatkan nasihat dan pertimbangkan untuk dapatkan vaksin influenza tahunan bagi perlindungan kesihatan anda.
Sumber: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/flu/expert-answers/flu-symptoms/faq-20057983

10 MITOS INFLUENZA

1. Hanya ada beberapa kes influenza di Malaysia.

TIDAK BENAR. Malah, kes influenza di Malaysia lebih meningkat jika dibandingkan sebelum wabak COVID-19.

Klik pautan di bawah untuk ketahui data terkini:

FluNet chart – Portal data ini diuruskan oleh World Health Organization (WHO) dan mempunyai data global untuk survelan virologi influenza.

2. Jangkitan influenza hanya berlaku di negara sejuk/4 musim.

TIDAK BENAR. Influenza boleh berlaku di mana-mana negara, tanpa mengira iklim atau musim. Walaupun aktiviti influenza mungkin berbeza-beza mengikut faktor-faktor seperti suhu dan kelembapan, virus masih boleh merebak di kedua-dua kawasan iklim sederhana dan tropika.

Di Malaysia, influenza berlaku sepanjang tahun. Tempoh kemuncaknya adalah pada bulan Mei-Julai dan November-Januari.
Sumber: https://adultimmunisation.msidc.my/influenza/https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/influenza-(seasonal)

3. Anda boleh mendapat jangkitan influenza daripada vaksin influenza.

TIDAK BENAR. Vaksin influenza mengandungi virus nyahaktif yang tidak mampu untuk memberi anda jangkitan influenza. Sakit otot yang ringan dan demam adalah reaksi normal sistem imun terhadap vaksin. Simptom-simptom ini biasanya surut selepas 1 atau 2 hari.
Sumber: https://adultimmunisation.msidc.my/influenza/

4. Vaksin COVID-19 boleh melindungi daripada jangkitan influenza.

TIDAK BENAR. Vaksin COVID-19 adalah spesifik kepada virus COVID-19 dan tidak mampu memberi perlindungan terhadap virus influenza.

Cara yang terbaik untuk melindungi diri daripada influenza adalah dengan mendapatkan suntikan influenza tahunan.
Klik pautan ini untuk mencari klinik berhampiran anda: https://immunise4life.my/clinics/
Sumber: https://www.who.int/news-room/questions-and-answers/item/coronavirus-disease-covid-19-similarities-and-differences-with-influenza

5. Orang muda dan sihat tidak memerlukan suntikan influenza.

Walaupun orang muda dan sihat mempunyai sistem imun yang lebih kuat, mereka masih boleh dijangkiti dan menyebarkan virus influenza. Vaksin influenza bukan sahaja melindungi mereka daripada dijangkiti influenza, tetapi turut mencegah penyebaran influenza kepada orang lain, termasuk mereka yang lebih terdedah kepada komplikasi serius influenza (warga emas, penghidap penyakit kronik, wanita hamil & kanak-kanak).

Oleh itu, mereka yang berumur 6 bulan dan ke atas adalah amat disarankan untuk mendapatkan vaksin influenza tahunan.
Sumber: https://adultimmunisation.msidc.my/influenza/

6. Vaksin influenza terlalu kuat dan membebankan untuk warga emas, wanita hamil dan penghidap penyakit kronik.

TIDAK BENAR. Vaksin influenza adalah disarankan kepada warga emas, wanita hamil dan penghidap penyakit kronik kerana mereka berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi serius akibat jangkitan influenza.

Jika anda termasuk di dalam golongan berisiko dan tidak pasti sama ada vaksin influenza sesuai untuk anda, dapatkan nasihat daripada doktor anda.
Sumber: https://adultimmunisation.msidc.my/influenza/

7. Influenza bukan penyakit serius. Oleh itu, saya tidak perlukan vaksin influenza.

TIDAK BENAR. Influenza boleh menjadi penyakit yang serius, terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas, penghidap penyakit kronik, wanita hamil dan kanak-kanak. Komplikasi influenza boleh membawa kepada kemasukan hospital dan kematian.

Menurut World Health Organisation, terdapat 1 billiion kes influenza setiap tahun, termasuk 3-5 juta kes jangkitan teruk. Influenza telah menyebabkan 290,000-650 000 kematian akibat penyakit pernafasan setiap tahun.
Sumber: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/influenza-(seasonal)

8. Vaksin influenza hanya diperlukan sekiranya anda ke luar negara.

TIDAK BENAR. Di Malaysia, influenza berlaku sepanjang tahun, tempoh kemuncaknya adalah pada Mei-Julai dan November-Januari. Selain itu, pelancong daripada luar negara turut boleh menjadi pembawa virus dan menyebarkannya.

Oleh itu, anda harus dapatkan vaksin influenza tanpa mengira anda merancang untuk ke luar negara ataupun tidak.
Sumber: https://www.nst.com.my/lifestyle/heal/2022/12/861063/health-stay-protected-influenza-flu-when-travelling

9. Vaksin influenza memastikan anda untuk tidak dijangkiti influenza langsung.

Kenyataan ini tidak begitu tepat. Walaupun vaksin influenza boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan influenza, ianya tidak dapat membantu mencegah penyakit sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, jika anda telah mendapatkan vaksin dan kemudiannya dijangkiti influenza, vaksin tersebut boleh membantu mengurangkan keterukan simptom dan risiko komplikasi influenza yang mengancam nyawa dan boleh membawa kepada kemasukan hospital & kematian.
Sumber: https://www.cdc.gov/flu/prevent/vaccine-benefits.htm

10. Vaksin influenza tidak perlu diambil setiap tahun.

TIDAK BENAR. Terdapat dua sebab mengapa anda perlu dapatkan vaksin influenza setiap tahun. Pertama, perlindungan imun yang seseorang itu dapat daripada vaksinasi akan semakin menurun, oleh itu, vaksin influenza tahunan diperlukan untuk perlindungan yang optimum.

Kedua adalah kerana virus influenza sentiasa berubah. Oleh itu, formula vaksin perlu diubahsuai setiap tahun untuk melawan strain baru di musim akan datang. Untuk perlindungan terbaik, mereka yang berumur 6 bulan dan ke atas disarankan mendapatkan vaksin influenza setiap tahun.
Sumber: https://www.cdc.gov/flu/prevent/keyfacts.htm