My Image

Keluarga Bebas Flu, Sihat Sepanjang Umrah

Pastikan anda dan keluarga dilindungi daripada influenza agar perjalanan Umrah selamat dan diberkati


Pada penghujung tahun ini, sudah pasti ramai umat Islam di Malaysia yang tidak sabar dan membilang hari untuk pergi menunaikan Umrah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali hendak menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Ibadah Umrah boleh dikatakan hampir serupa dengan Haji, namun rukunnya tidak sebanyak Haji dan boleh dilakukan pada bila-bila masa1.

Pada waktu inilah, bakal jemaah di Malaysia biasanya akan sibuk mempersiapkan diri dengan menelaah pelbagai bahan bacaan keagamaan, mengadakan kenduri doa selamat dan macam-macam lagi. Tidak kurang yang mencari petua dari internet atau meminta nasihat daripada rakan-rakan atau saudara-mara yang sudah pernah menjejakkan kaki ke sana. Malangnya, dalam banyak-banyak panduan Umrah yang kita terima, ramai yang terlupa tentang aspek penting dalam persiapan sebelum menunaikan Umrah, iaitu kesihatan.

Dalam perkongsian pengalaman mereka yang pernah menunaikan Umrah, pasti akan ada terselit kisah jatuh sakit sewaktu di Makkah atau selepas pulang ke Malaysia, adakalanya sehingga terpaksa ke hospital. Jemaah di Makkah terdedah kepada jangkitan influenza, atau flu2. Ia sering disalah anggap sebagai selsema biasa oleh sebab gejalanya yang serupa, walaupun hakikatnya flu adalah jauh lebih berbahaya3.

Flu Berada di Sekeliling Anda

Virus influenza boleh tersebar dari saat anda dan keluarga berkumpul di lapangan terbang lagi4. Anda pasti tahu di lapangan terbang, terdapat ramai individu dari seluruh dunia yang akan berkumpul di sana, tidak kiralah mereka yang baru mendarat atau hendak berlepas. Percampuran ramai manusia di sesuatu tempat seperti ini boleh menyumbang kepada penyebaran pelbagai jenis virus influenza yang dibawa oleh individu dari pelbagai negara5,6.

Penyebaran influenza tidak terhad kepada lapangan terbang. Tahukah anda bahawa flu boleh menjangkiti anda sewaktu di dalam kapal terbang?4 Virus flu boleh bertahan di permukaan sehingga 48 jam, jadi kemungkinan meja yang anda pegang dan kerusi yang anda duduk itu sebenarnya telah dihuni virus influenza7.

Sekarang, bayangkan anda sudah mendarat di Lapangan Terbang Jeddah. Sudah selamat? Ya, anda sudah selamat tiba ke Arab Saudi. Tapi awas, anda masih belum selamat daripada flu. Walaupun anda tidak dijangkiti influenza di lapangan terbang, ataupun ketika dalam perjalanan di kapal terbang, flu masih boleh menjangkiti anda sewaktu anda berada di Makkah dan Madinah.

Flu Boleh Mengganggu Ibadah Umrah

Makkah merupakan tempat perhimpunan jutaan umat Islam yang turut ingin menunaikan Umrah. Tanyalah sesiapa yang pernah mengerjakan Umrah – pastinya mereka akan mengakui ibadah tersebut memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Anda perlu berjalan di bawah cahaya matahari yang terik di Makkah. Keletihan, dehidrasi, cuaca panas, serta keadaan yang bersesak-sesak boleh menyumbang kepada tekanan yang mungkin melemahkan sistem pertahanan tubuh8. Ini memudahkan anda untuk dijangkiti influenza.

Bayangkan jika anda dijangkiti flu. Anda mempunyai masa terhad untuk menunaikan ibadah, namun influenza boleh menyebabkan gejala seperti demam, selsema, dan batuk yang boleh berpanjangan selama seminggu2. Bagaimana anda mahu beribadah dengan selesa dan sempurna kalau badan lemah dan tidak sihat?

Bukan itu sahaja, influenza boleh menyebabkan pelbagai komplikasi serius seperti radang paru-paru, jangkitan telinga, jangkitan sinus, dan jangkitan saluran pernafasan9. Masalah ini boleh mengundang kepada kemasukan ke hospital, malah kematian10. Tentu anda tidak mahu datang ke Makkah hanya untuk tinggal di bilik hotel, atau lebih teruk, di hospital. Sekiranya anda terlantar di hospital tanpa sempat tawaf, ini bermakna anda gagal menunaikan semua rukun Umrah. Maka, secara automatik Umrah anda akan terjejas11.

Flu, Umrah dan Keluarga

Bukan anda seorang, keluarga anda yang turut sama menunaikan Umrah turut berisiko untuk dijangkiti influenza. Virus flu boleh tersebar dalam masa lima ke tujuh hari selepas gejala flu muncul, dan kebanyakannya berlaku dalam tempoh tiga hari yang pertama2.
Namun, yang lebih membimbangkan adalah anda mungkin boleh menjangkiti keluarga dan jemaah-jemaah lain tanpa anda sedari. Ini kerana virus ini juga boleh tersebar satu atau dua hari sebelum gejala flu muncul2.

Oleh sebab itu, anda perlu sentiasa berhati-hati, lebih-lebih lagi jika anda merancang untuk membawa anak-anak bersama. Flu lebih berbahaya kepada kanak-kanak, terutamanya yang berusia bawah lima tahun12. Hal ini kerana sistem pertahanan tubuh mereka masih belum matang berbanding orang dewasa13.

Selain anak-anak, anda juga perlu ambil perhatian jika anda ingin membawa bersama ibu bapa atau saudara yang sudah lanjut usia untuk menunaikan Umrah. Warga emas berusia 65 tahun ke atas lebih berisiko untuk mendapat komplikasi serius akibat flu, oleh sebab sistem pertahanan yang kian lemah dengan peningkatan usia14.

Selain itu, ramai warga emas turut menghidap penyakit kronik. Soal selidik mendapati seramai 17.3% jemaah Umrah Malaysia menghidap sejenis penyakit kronik, manakala 21.5% menghidap lebih daripada satu penyakit15. Sudahlah mereka sukar untuk melawan flu, jangkitan flu turut boleh membuatkan penyakit sedia ada seperti penyakit jantung, penyakit paru-paru, dan diabetes atau kencing manis lebih teruk9.

Untuk mendapat keberkatan Umrah, pastikan perjalanan Umrah anda selamat dan bebas daripada influenza. Flu berbahaya, namun boleh dicegah.

Panduan Cegah Flu Untuk Jemaah

Bagaimana anda boleh memastikan perjalanan Umrah selamat dan ibadah boleh dilaksanakan dengan lancar? Berdoa dan berharap supaya tidak jatuh sakit? Tawakkal tanpa ikhtiar tidak cukup. Islam mengajar kita bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat, jadi kita perlu mencari langkah pencegahan terbaik sebagai tanda kita berikhtiar sebelum bertawakkal.
Vaksinasi merupakan perlindungan utama yang terbaik untuk mencegah influenza16. Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) mengesyorkan pengambilan vaksinasi influenza untuk jemaah sebelum berangkat ke Makkah17. Vaksinasi amat disarankan, terutamanya bagi jemaah yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius akibat flu seperti warga emas, kanak-kanak, dan mereka yang menghidap penyakit kronik16,17.

Vaksinasi terbukti lebih 60% berkesan memberikan perlindungan daripada jangkitan influenza2. Kajian di kalangan jemaah Malaysia mendapati vaksinasi influenza mampu mencegah 50-60% kemasukan ke hospital dan radang paru-paru8. Ia juga mampu mengurangkan risiko kematian sebanyak 80% untuk individu berusia lebih 60 tahun8.

Jadi, sekiranya anda merancang untuk ke Tanah Suci, anda perlu memastikan anda dan keluarga telah dilindungi daripada influenza sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berangkat18. Vaksin memerlukan masa untuk membantu tubuh anda menghasilkan antibodi bagi memastikan anda bersedia untuk melawan jangkitan18.

Selain vaksinasi, terdapat beberapa lagi langkah pencegahan lain yang jemaah boleh ambil. Antaranya adalah dengan sentiasa memastikan kebersihan diri16. Ia semudah mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, atau menggunakan hand sanitiser, menutup mulut ketika bersin dan batuk, serta tidak mendekati jemaah-jemaah yang sakit16. Langkah pencegahan ini mudah dilakukan, namun dapat membantu mengurangkan penyebaran influenza.

Ketahui dengan lebih lanjut. Tonton Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bercakap tentang pencegahan flu di kalangan keluarga di www.actoflove.ifl.my

References/Rujukan:

  1. CDC (20). Saudi Arabia: Hajj/Umrah Pilgrimage. Retrieved from https://wwwnc.cdc.gov/travel/yellowbook/2018/select-destinations/saudi-arabia-hajj-umrah-pilgrimage
  2. Zeitouni et al (2015). The Saudi Thoracic Society guidelines for influenza vaccinations. Annals of Thoracic Medicine. 10(4): 223–230.
  3. CDC (2018). Cold Versus Flu. Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/about/qa/coldflu.htm
  4. Freedman et al (2005). Influenza: Changing Approaches to Prevention and Treatment in Travelers. Journal of Travel Medicine. 12:36–44
  5. Shi et al (2010). The impact of mass gatherings and holiday traveling on the course of an influenza pandemic: a computational model. BMC Public Health, 10:778.
  6. WHO (2018). Influenza. Retrieved from http://www.who.int/ith/vaccines/si_iAh1n1/en/
  7. CDC. (2018). Cleaning to prevent the flu. Retrieved from https://www.cdc.gov/immigrantrefugeehealth/pdf/seasonal-flu/contamination_cleaning_english_508.pdf
  8. Rahman et al (2017). Mass Gatherings and Public Health. Annals of Global Health. 83 (2): 386–393
  9. National Foundation for Infectious Diseases (2011). Influenza Complications. Retrieved from http://www.nfid.org/content-conversion/pdf/influenza/leadingcomplications.pdf
  10. CDC (2017). Flu Symptoms & Complications. Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/consumer/symptoms.htm
  11. Majlis Kawalan Selia Umrah (nd). Rukun Umrah. Retrieved from http://umrahmksu.motac.gov.my/ibadah/rukun-umrah
  12. CDC (2018). Children & Influenza (Flu). Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/protect/children.htm
  13. American Academy of Pediatrics (2009). Outbreaks, Epidemics, and Other Infectious Disease Emergencies. Managing Infectious Diseases in Child Care and Schools, 2nd Edition. Retrieved from https://scp.com.co/ArchivosSCP/ MIDCCSoutbreaks.pdf
  14. CDC (2018). People 65 Years and Older & Influenza. Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/about/disease/65over.htm
  15. Fatimah MN (2017). The measurement of quality of life among population within the crowd: a case study among Malaysian pilgrims. Malaysian Journal of Public Health Medicine, 17 (1): 137-145
  16. CDC (2018). Preventive Steps. Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/consumer/prevention.htm.
  17. MSIDC (2016). Adult Immunisation Guideline 2nd Edition. Kuala Lumpur: Malaysian Society of Infectious Diseases & Chemotherapy. p82
  18. CDC (2018). Key Facts About Seasonal Flu Vaccine. Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/protect/keyfacts.htm

Terms of Use | Privacy | Disclaimer | SPMY.IFLU.18.10.0285b (12/19)